Tuesday 24 January 2012

SEJARAH NEGERI SELANGOR


SEJARAH NEGERI SELANGOR

Pada abad ke-15, Selangor terletak di bawah pemerintahan Melaka. Selepas kejatuhan Melaka, ia menjadi rebutan di antara penjajah Portugis, Johor, Aceh dan Siam. Selepas Belanda menewaskan Portugis di Melaka, mereka membawa masuk askar upahan Bugis dari Sulawesi. Ini menyebabkan kaum Minangkabau yang lebih dulu (100 tahun awal) datang dari Sumatra terpaksa berpindah.

Pada kurun ke-19, kemajuan ekonomi akibat perlombongan bijih timah dan penanaman pokok getah menarik ramai pendatang China. Kaum Cina ini membentuk kongsi gelap dan berpakat dengan pembesar-pembesar Selangor merebut kekayaan ini. Suasana kucar-kacir ini memberi peluang kepada British untuk memaksa Sultan Selangor menerima seorang Residen British di Klang pada 1874 iaitu J.G Davidson. Taktik ini berkesan apabila British berjaya mengawal keadaan dan Selangor kembali makmur.

Asal nama Selangor tidak jelas, walaupun beberapa sumber mendakwa bahawa namanya telah diambil daripada perkataan "selangau", iaitu sejenis lalat besar, disebabkan oleh bilangan lalat yang ada berhampiran dengan Sungai Selangor, di bahagian barat laut negeri ini. Satu lagi teori mendakwa bahawa nama negeri ini diambil daripada frasa "Selang Ur" bermaksud "tanah selat" ("ur" membawa maksud "tanah" dalam bahasa Tamil).

Negeri Selangor (juga dikenali sebagai Selangor Darul Ehsan) merupakan salah satu daripada tiga belas negeri yang membentuk Malaysia. Ia terletak di tengah-tengah Semenanjung Malaysia di pantai barat dan mengelilingi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Negeri ini juga bersempadan dengan Negeri Perak di utara, Pahang di timur, Negeri Sembilan di selatan dan Selat Melaka di sebelah barat.

Negeri ini mengamalkan sistem raja perlembagaan sejak turun-termurun, dan sekarang di bawah naungan Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj. Semenjak 10 Mac 2008, Pakatan Rakyat (PR) telah mengambil alih negeri ini daripada pemerintahan Barisan Nasional (BN). Menteri Besar ketika ini adalah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebahagian daripada Pakatan Rakyat (PR).

Ibu negeri Selangor ialah Shah Alam dan merupakan bandar raya pertama di negeri ini. Bandar diraja negeri ini ialah Klang. Bandar utama yang lain ialah Petaling Jaya, yang mendapat status sebagai bandar raya kedua di negeri ini pada 20 Jun 2006. Selangor adalah satu daripada dua negeri yang mempunyai lebih daripada satu bandar raya, selain Sarawak. Selangor juga mempunyai bandar yang terbanyak di Malaysia, ini berikutan pembangunan pesat akibat daripada kemodenan di Lembah Klang.

Selangor juga merupakan negeri yang terkaya di Malaysia, berdasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita. Negeri ini merupakan negeri yang termaju di Malaysia dengan mempunyai infrastruktur yang terbaik seperti lebuhraya dan pengangkutan awam. Bilangan penduduk di negeri ini juga, merupakan yang terbanyak di Malaysia dengan kualiti hidup yang tinggi dan kadar kemiskinan negeri yang terendah di Malaysia.


Selangor secara umumnya merupakan kawasan yang landai. Ia terletak antara Banjaran Titiwangsa dan Selat Melaka. Negeri Selangor terbahagi kepada 9 daerah iaitu :-

1. Gombak ditadbir oleh Majlis Perbandaran Selayang
2. Hulu Langat terbahagi kepada dua:
- Majlis Perbandaran Kajang mentadbir seluruh Kajang dan Hulu Langat
- Majlis Perbandaran Ampang Jaya mentadbir seluruh Ampang dan Ulu Klang
3. Hulu Selangor ditadbir oleh Majlis Daerah Hulu Selangor
4. Klang ditabir oleh Majlis Perbandaran Klang
5. Kuala Langat ditadbir oleh Majlis Daerah Kuala Langat
6. Kuala Selangor ditadbir oleh Majlis Daerah Kuala Selangor
7. Petaling terbahagi kepada tiga:
- Majlis Bandaraya Petaling Jaya mentadbir bandaraya Petaling Jaya
- Majlis Perbandaran Subang Jaya mentadbir seluruh Subang Jaya, USJ, Puchong, Serdang dan Seri -  Kembangan
- Majlis Bandaraya Shah Alam mentadbir bandaraya Shah Alam dan Sungai Buloh
8. Sabak Bernam ditadbir oleh Majlis Daerah Sabak Bernam
9. Sepang ditadbir oleh Majlis Perbandaran Sepang

Bandar-bandar utama di Selangor adalah Shah Alam (ibu negeri), Klang, Ampang, Kajang, Banting, Petaling Jaya, Subang Jaya, Puchong, Rawang dan Semenyih.

0 Komen:

Post a Comment