SEJARAH PENUBUHAN


Sebelum Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) ditubuhkan secara rasmi pada 30 April 1953 sudah wujud beberapa organisasi yang bergerak secara sukarela di Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Sarawak dan Brunei. Yang paling tua dan masyhur sekali ialah The Malayan Branch Royal Asiatic Society (dulu The Malayan Branch of Royal Asiatic Society) yang jika dikaitkan dengan badan yang lebih awal iaitu Straits Branch of Royal Asiatic Society telah ditubuhkan pada tahun 1878 lagi iaitu lebih kurang 118 tahun dahulu dan penerbitannya, The Journal of the Malaysia Branch of Royal Asiatic Society (JMBRAS) sudahpun terkenal ke seluruh dunia memperkatakan tentang sejarah,kebudayaan,sastera dan adat resam seluruh rantau ini iaitu Malaya,Singapura,Brunei, Sarawak dan Borneo Utara kecuali Indonesia.

Di peringkat negeri pula Muzium Sarawak bergerak aktif dalam kerja kemuziuman dan arkeologi. Jurnal yang tinggi nilainya berjaya dihasilkan dan tersebar luas ke seluruh Eropah dan America. Begitu juga di Sabah yang akhirnya ditubuhkan The Sabah Historical Society pada tahun 1960, juga dengan jurnal profesionalnya sendiri. Tetapi persatuan sejarah yang paling awal ialah The Malacca Historical Society (Persatuan Sejarah Melaka) yang ditubuhkan kira-kira pada tahun 1930 dan The Penang Historical Society (Persatuan Sejarah Pulau Pinang) yang dijangka juga telah ditubuhkan pada waktu yang sama. Pertumbuhan awal dua persatuan ini dapat dimaklumi kerana Melaka dan Pulau Pinang adalah Negeri-Negeri Selat yang menerima kuat pengaruh orang barat. Kesedaran dan tradisi cintakan sejarah yang lebih menebal di kalangan pegawai Inggeris telah mempelopori penubuhan dua persatuan itu lebih dua setengah dekad lebih awal daripada negeri-negeri Melayu.

Persatuan sejarah juga wujud di pusat pengajian tinggi, maktab, serta sekolah Inggeris yang sudah banyak didirikan di Tanah Melayu, Singapura, dan Borneo sebelum Perang Dunia Kedua. Historical Society tidak dapat dipastikan wujud di Raffles College, Singapura, tetapi ramai guru siswazah yang lulus dari situ mengajar sejarah selepas perang. Di Universiti Malaya, Singapura, Historical Society sudah wujud pada awal 50-an. Begitu juga di maktab perguruan. Namun begitu yang agak masyhur, giat tertubuh selepas perang ialah The Historical Society, Sultan Abdul Hamid College, Alor Setar yang berjaya menghasilkan majalahnya The Gate beberapa lama di bawah pimpinan Cikgu Radzi Puteh. Persatuan untuk guru sejarah cuma wujud tahun 1964 iaitu History Teachers Association (HITAM) tetapi selepas beberapa keluaran penerbitannya Peninjau Sejarah lenyap awal 70-an.

Hasrat murni untuk menubuhkan PSM di taraf nasional tersimpul dalam surat Datuk E.E.C. Thuraisingam, Ahli Pendidikan (setaraf Menteri Pendidikan pada waktu ini) yang merupakan salah seorang pengasas Persatuan Sejarah Malaysia. Sebahagian kandungan surat beliau amat penting untuk kita memahami matlamat asal PSM ditubuhkan. Beliau menulis:

"Adalah dicadangkan kepada saya bahawa perlu ditubuhkan sebuah badan pusat atau persatuan yang akan bertanggungjawab untuk menggalakkan rakyat dari semua kaum supaya berminat dalam kebudayaan dan sejarah Malaya. Adalah difikirkan bahawa "Royal Asiatic Society" Cawangan Malaya dan "Nature Society" mungkin tidak mempunyai daya penarik yang meluas dan adalah lebih elok kalau sebuah persatuan lain ditubuhkan. Ini secara langsung akan merangsangkan penubuhan persatuan-persatuan sejarah tempatan (mungkin berbentuk seperti Persatuan Sejarah Melaka) dan seterusnya memberi sokongan aktif kepada persatuan-persatuan sedia wujud."

Hasrat yang paling jelas sama ada tersurat mahupun yang tersirat mengenai penubuhan PSM terkandung dalam ucapan Pesuruhjaya Tinggi, General Sir Gerald Templer dalam ucapan perasmiannya di Town Hall, Kuala Lumpur pada 30 April 1953.

Antara lain yang ditekankan oleh beliau ialah PSM merupakan satu usaha untuk menggembling semua bangsa di Malaya ini untuk menjadi satu rupa bangsa yang tunggal bagi menghadapi masa dan destini zaman menghadapi kemerdekaan.

Kesedaran bahawa kurang sekali pengetahuan mengenai perjuangan dan pencapaian generasi awal di kalangan anak-anak muda dan ini adalah kesalahan generasi tua juga yang tidak menanamkan semangat dan tidak memberi petunjuk kepada generasi muda tentang tradisi serta pencapaian rakyatnya.

Bagi Templer, sesuatu bangsa yang tidak dapat menoleh ke belakang dengan bangga tidak mungkin dapat mara ke hadapan dengan yakin pada masa depan. PSM juga dijangka akan menokok tambah kerja dan berganding dengan organisasi yang lebih tua seperti Royal Asiatic Society. Di samping itu PSM diharap akan menjadi satu gerakan yang sedikit berbeza iaitu dengan maksud pengetahuan yang dikutip mengenai sejarah itu akan disebar luas kepada rakyat.

Dalam ucapannya Datuk Mahmood bin Mat, Yang DiPertua pertama PSM, menyatakan bahawa beliau berharap PSM akan menjadi persatuan yang akan mengabdi diri kepada rakyat biasa di kampung-kampung. Jelas sekali bahawa dari awal lagi teras perjuangan PSM ialah untuk memberi kesedaran sejarah kepada masyarakat umum atau "memasyarakatkan sejarah".

Badan lain seprti Malaysian Branch of Royal Asiatic Society dan badan profesional dan muzium telah mencapai kejayaan besar dalam membuat penyelidikan ilmiah dan profesional. Tetapi khalayaknya amat terhad kepada orientalis, pegawai tinggi kolonial dan juga sarjana universiti. Untuk pertama kali timbul hakikat betapa pentingnya sejarah dari segi penggemblingan semangat untuk pembangunan bangsa baru.

Di samping matlamat tersurat, penubuhan PSM di tengah-tengah kancah zaman darurat juga mempunyai agendanya yang tersembunyi. General Templer sebagai seorang panglima tentera yang terlatih dan berpengalaman, dikirim khas oleh Perdana Menteri Winston Churchill untuk memusnahkan ancaman pengganas komunis di Malaya. Beliau sudah tentu akan menggunakan pelbagai strategi dan taktik psikologi perang untuk mengalahkan musuhnya. Penubuhan badan warisan massa seperti PSM dilihat sebagai satu strategi "winning the hearts and minds" rakyat. Untuk sama-sama bersatu menentang komunisme. Mungkin ini juga perancangan Sir Malcolm McDonald, Commissioner General British di Asia Tenggara yang menyokong penuh penubuhan persatuan sejarah sejak awal-awal lagi.

PSM dilahirkan dalam satu majlis gilang-gemilang, empat tahun sebelum merdeka iaitu pada 30 April 1953. Majlis yang penuh sesak itu dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Gerald Templer dengan disaksikan oleh beberapa orang Raja Melayu seperti Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Kedah, Sultan Terengganu, Tengku Mahkota Johor, Pemangku Sultan Perak, Wakil Raja Perlis dan Pembesar tempatan seperti Datuk Onn Jaafar, Datuk Thuraisingam, Datuk Nik Ahmad Kamil, Datuk Tan Cheng Loke, Datuk Mahmud Mat, Encik Mustapha Al-Bakri, Prof. C.N. Parkinson, Tuan Za'ba dan L.D. Whitfield.

Majlis PSM yang pertama dilantik pada akhir persidangan tersebut terdiri daripada Yang Dipertua: Dato' Mahmud bin Mat, "Member" Tanah, Galian dan Perhubungan, Naib Yang DiPertua: Dato' E.E.C. Thuraisingam, Dato' Nik Ahmad Kamil, dan Dato' Sir Cheng Lok Tan. Ahli Majlis pula ialah M.C. ff. Sheppard, Mustapha Al-Bakri, L. Whitfield, H.H. Beamish, Dato' F.W. Douglas, Haji Zainal Abidin bin Ahmad, Ng Seo Buck, Rev. Yeh Hua Fen, G. Hawkins, K. Ramanathan, S. Thuraisingam, J.C. Bottoms dan Mohd Mohideen. Setiausaha Kehormat J.C. Loch, M.C.S Bendahari Kehormat: Yong Pun How.

General Templer telah menyebutkan bahawa "this is not a Society for the Government, for the educated, or for any class or section of the populations, it is for everybody, and everybody has something to contribute to it".

PSM telah dari mula-mula lagi cuba menggemblingkan seluruh tenaga kepegawaian dari yang paling rendah hingga yang paling tinggi untuk sama-sama berganding bahu berjuang dalam persatuan. Ini termasuklah Menteri Besar. Penasihat British, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Daerah. Orang-Orang Besar Jajahan, Pegawai Pendidikan, Guru Besar dan Guru serta orang perseorangan. Semua itu dirancangkan sebagai satu pergerakan massa yang berwawasan.

Pada tahun 1955 Cawangan PSM sudah wujud di Perak Utara - Kuala Kangsar, Taiping (1953), Kinta (1954) - Perak Selatan, Kuala Lumpur (1953), Singapura (1953), Seremban (1954), Kota Bharu (1954), Kuantan (1954), Kedah dan Terengganu (1956). Persatuan Sejarah Melaka dan Persatuan Sejarah Pulau Pinang mengambil keputusan bergabung dengan PSM pada tahun 1971. Menjelang 1972 bilangan Cawangan PSM berjumlah sebelas buah. Kini PSM mempunyai 14 Cawangan di peringkat negeri iaitu di Perak (1955) Kedah (1957) Negeri Sembilan (1959) Selangor (1962) Pahang (1962) Perlis (1968) Johor (1969) Terengganu (1971) Melaka (1971) Pulau Pinang (1971) Kelantan (1972) Sarawak (1972) Sabah (1973), dan Wilayah Persekutuan (1980). Antara 14 Kawasan atau Daerah hanya Batu Pahat dan Muar masih tinggal aktif.

Sesuai dengan kehendak perlembagaan, PSM bergerak dalam pelbagai aktiviti dari semasa ke semasa seperti mengelolakan dan menganjur bersama pihak lain seperti universiti, seminar dan persidangan, karangan/esei dan perdebatan, kuiz, pameran untuk belia dan dewasa, mengadakan lawatandan kajian di dalam dan di luar negara, memperakukan peninggalan bangunan yang berunsur sejarah, dipulih dan diabadikan dan kadang kala membuat pendirian umum melalui media terhadap pelbagai isu sejarah bahkan isu politik. Antara pencapaian yang kurang diketahui ramai ialah PSM telah memperolehi kerjasama Pengarah Pelajaran Negeri untuk membuat kajian dan menghasilkan buku sejarah mengenai perkembangan sekolah dan pendidikan di Negeri Terengganu, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan, Selangor dan Johor. Sumbangan ini amat tinggi nilainya dari segi rakaman yang memungkinkan pengkaji melihat gambaran dan perkembangan pendidikan di negeri-negeri di seluruh Malaysia.

Pembinaan batu atau papan tanda peringatan adalah satu lagi kegiatan penting PSM yang diusahakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Kementerian Pelancongan. Batu peringatan ini dibina di tempat bersejarah seperti Kota Lukut, Makam Bendahara Abdul Jalil di Kota Tinggi, Makam Sultan Alauddin di Pagoh - Muar; Kota Kuala Kedah, Kota Raja Mahadi di Klang, Kota Cornwalis di Pulau Pinang, Makam Almarhum Kayang di Perlis dan beberapa tempat bersejarah di Melaka; Kota Tanjung Keramat, dan Kota Melawati di Selangor.

Sebelum ini PSM merancang dua projek besar iaitu untuk menghasilkan buku Sejarah Malaysia belum menjadi kenyataan. Cadangan ini dicetuskan oleh Datuk Hussein Onn sebagai Yang DiPertua PSM pada tahun 1973. Projek yang pertama itu tidak dapat dijalankan kerana PSM sendiri kesuntukan wang dan tenaga kepakaran. Projek muzium sejarah pula diambil alih oleh kerajaan pusat sendiri dalam rangka rancangan pembangunan Kompleks Muzium Negara.

PENERBITAN PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA

Aktiviti yang paling besar, berkesan dan yang menyebabkan PSM terkenal di dalam dan di luar negara ialah dalam bidang penerbitan. Bermula tahun 1954 jurnal sulung PSM iaitu The Malayan Historical Journal telah diterbitkan di bawah pengarangnya J.C. Bottoms. Tempat beliau kemudiannya diambil alih oleh Tan Sri Mubin Sheppard yang terus menghasilkan jurnal PSM dengan nama baru Malaya In History dan meneruskan tugasnya sebagai pengarang selama 15 tahun iaitu sehingga April 1972. Tanggung jawab beliau diambil alih oleh Prof. Zainal Abidin Wahid yang mula menghasilkan jurnal PSM dalam versi bahasa Melayu - Malaysia Dari Segi Sejarah. Prof. Khoo Kay Kim mula menerajui sidang redaksi pada tahun 1978 hingga tahun 1989 apabila tempat beliau digantikan oleh Prof. Dr. Nik Hassan Shuhaimi sehinggalah sekarang.

Sehingga kini jurnal Malaysia Dari Segi Sejarah yang diterbitkan hampir 40 tahun lalu sudah mencecah ke bilangan 100. Melalui penerbitan inilah PSM berjaya memperkenalkan sejarah dan kebudayaan Malaysia kepada khalayak yang lebih luas, sama ada di dalam maupun di luar negara. Penerbitan ini juga mendapat sambutan yang menggalakkan dari orang awam, mahasiswa, pengkaji sejarah, dan institusi pengajian tinggi. Kejayaan ini dapat ditafsirkan sebagai kejayaan dasar jurnal ini yang mengadunkan kepakaran dan kebolehan pakar sejarah dengan amateur historian dan ini telah berhasil untuk merangsang minat di kalangan orang yang bukan ahli. Penerbitan indeks penyumbang dan mauduk yang dimuat dalam jurnal ini antara tahun 1954 hingga 1979 telah diusahakan oleh Prof. J. Chandran pada tahun 1979 dan mengandungi maklumat yang amat penting untuk para pengkaji pada masa hadapan.

Meneliti penyumbang kepada jurnal PSM di peringkat awal ini seolah-olah menatapi sebuah buku Who's Who di zaman sebelum merdeka. Para penyumbang makalah, umpamanya termasuklah Dato' Mahmud Mat, Sir Roland Braddel, Prof. Parkinson, Prof. Tregoning, Wang Gu Wu, Dato' Shahrom Hussein, dan Yap Sho Koon. Antara penyumbang yang paling aktif ialah Tan Sri Mubin Sheppard, dan Prof. Khoo Kay Kim.

Di samping jurnal, dari semasa ke semasa PSM juga menghasilkan buku dan monograf. Antaranya yang penting ialah Historia, Lembaran Akhbar Melayu, Changi The Lost Years, Tun Hamdan Guru Sepanjang Hayat, Sejarah dan Pembinaan Negara-Bangsa. Usaha ini bertepatan dengan dasar PSM menggalakkan penerbitan karya sejarah yang dihasilkan oleh individu ataupun pertubuhan untuk diterbitkan bagi bacaan umum. Di samping di peringkat pusat, Cawangan PSM di peringkat negeri juga telah menerbitkan jurnal masing-masing. Antaranya ialah Setanggi oleh PSM Cawangan Wilayah Persekutuan, Kedah Dari Segi Sejarah oleh PSM Cawangan Kedah, Melawati oleh PSM Cawangan Selangor, Misa Perak oleh PSM Cawangan Perak, Sawaktu oleh PSM Cawangan Sarawak, Warisan oleh PSM Cawangan Negeri Sembilan. Melaka Dari Segi Sejarah oleh PSM Cawangan Sabah. Di samping itu PSM Cawangan juga aktif menerbitkan karya sendiri, umpamanya buku Sejarah Darul Iman karya Dato Jasa Setia Dato Haji Salleh bin Haji Awang yang merakamkan sejarah negeri Terengganu sehingga tahun 1924, risalah tentang tempat bersejarah di Pahang oleh PSM Cawangan Pahang. Di samping itu PSM Cawangan Sarawak pula menghasilkan Yang Dikehendaki iaitu biografi TYT Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Haji Ahmad Zaidi Adruce bin Mohamad Noor.

TOKOH DAN AKTIVIS SEJARAH DALAM GERAKAN PSM

Pada tahun 1957 Raja Sir Uda Raja Muhamad telah dipilih untuk menggantikan Dato' Mahmud Mat yang telah menyandang jawatan presiden pertama. Raja Sir Uda diganti oleh Dato' Abdul Razak Hussein sehingga tahun 1971. Tempat Tun Razak pula diganti oleh Dato' Hussein Onn dari tahun 1972 hingga 1980. Seterusnya Datuk Musa Hitam dan diikuti oleh Encik Ghafar Baba menyandang jawatan tersebut.

TYT Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir memainkan peranan penting dalam kemajuan dan perkembangan PSM, sejak beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Kerja pada tahun 1961. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja pada tahun 1966, menggantikan Allahyaraham Aminuddin Baki yang meninggal dunia pada Disember 1965. Tun Hamdan merupakan penggerak besar dalam kegiatan untuk menyemarakkan perjuangan warisan khususnya di kalangan anak muda dan guru di sekolah. Beliau merupakan tokoh di belakang projek besar pertandingan menulis sejarah yang terbuka kepada sekolah menengah seluruh negara. Projek ini mendapat kejayaan cemerlang. Atas jasanya dan kepimpinannya beliau dianugerahkan Fellow pertama PSM. Apabila beliau dilantik sebagai TYT Negeri Pulau Pinang, tempatnya diganti oleh Dato' Omar Mohd Hashim (Timbalan Pengerusi PSM sejak 1976) pada tahun 1989 sehingga sekarang.

Selain daripada tokoh yang dinyatakan itu banyak lagi tokoh lain yang menyumbangkan tenaga yang amat tinggi nilainya kepada PSM. Antaranya ialah Allahyarham Tan Sri Mubin Sheppard, Tan Sri Sheikh Hussein Mohamad, Tan Sri Syed Nasir, Prof Khoo Kay Kim, J.S. Henry, Allahyarham Datuk Sujak Rahiman, dan Prof Zainal Abidin Wahid. Di samping itu di Cawangan pula ramai tokoh dan penggiat sejarah yang berkecimpung dengan kegiatan setempat dan menyemarakkan nama mereka sebagai ahli sejarah dan perujuk tempatan. Antaranya ialah Kapten Mohamad Nor Mohamad (Cawangan Pulau Pinang), Kapten Mohd. Ali Maidin, Cikgu Yusof Harun, Dato' Abdul Aziz Tapa (Cawangan Melaka), Datuk Wan Ibrahim Wan Suloh, J.E. Augustine, Shamsuddin Mohd. Yusof (Cawangan Kedah), Datuk Abdullah Mohamad, dan Datuk Shahrom Hussein (Cawangan Johor), Kapten Mohd. Ali Mohamad, dan Datuk Hitam (Cawangan Pahang), Drs. Abdul Rahman Al-Ahmady, Abdullah Mohd (Nakula), dan Dato' Nik Mohamed Nik Mohd Salleh (PSM Cawangan Kelantan), Datuk Mohd Salleh Awang (Cawangan Terengganu) dan lain-lain lagi. Semua tokoh yang disebutkan ini melalui kegiatan mereka, menulis, menggerakkan usaha penyelidikan dan membangunkan kesedaran telah turut memberikan sumbangan besar dalam mengharumkan nama PSM di seluruh negara.

Menjelang tahun 2000, PSM melangkah ke abad baru dengan usia 47 tahun. Sudah banyak kejayaan dicapai sepanjang PSM menimba pengalaman dan membina kematangan. Tidak dinafikan masih banyak matlamat yang masih perlu diperjuangkan secara berterusan. Semua ini memerlukan komitmen yang kuat daripada ahli PSM sendiri. Tokoh lama sudah meninggalkan jejak dan kerangka yang memudahkan pimpinan PSM kini meneruskan wawasan yang digariskan pada tahun 1953 dahulu. Generasi baru yang kelak akan mengambil alih kepimpinan PSM mesti dididik dan disemai dengan falsafah perjuangan PSM supaya hala tuju pertubuhan ini tidak terkeluar daripada landasan yang diamanahkan.

Perubahan pesat yang berlaku di negara ini khususnya dan di peringkat dunia sejagat amnya mendesak PSM turut bergerak seiring dengan perkembangan itu. Kehendak dan tuntutan masyarakat juga perlu dipenuhi dengan cara yang sesuai dan secocok dengan cita rasa mereka. Dengan sokongan dan bantuan daripada semua pihak PSM akan berusaha memenuhi harapan itu.

Sumber : Laman web PSM